KUALA LUMPUR: Honda Malaysia Sdn Bhd menyasar untuk menjual 80,000 kenderaan tahun ini, berdasarkan unjuran syarikat itu berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 600,000 unit.

Honda Malaysia berasa yakin mampu mencapai sasaran tersebut dengan strategi untuk 2022, yang merangkumi dua model baharu yang bakal diperkenalkan termasuk mengukuhkan lagi perkhidmatan selepas jualannya.

Tahun lepas, Honda Malaysia menjual 53,031 unit dan menyumbang 10.4 peratus daripada TIV.

"Wilayah tengah menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah jualan pada 2021 dengan lebih daripada 25,000 unit terjual, diikuti dengan wilayah selatan dan wilayah utara dengan masing-masing, lebih daripada 9,800 dan 9,100 unit yang dijual," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Honda Malaysia ketika bercakap mengenai masa hadapan berkata ia "merancang untuk memperluaskan teknologi e: HEV RS kumpulan itu yang unik dalam barisan model masa depan syarikat serta dan menawarkan model yang memberikan ekonomi bahan api yang sangat baik termasuk pelepasan karbon yang rendah tetapi masih bersifat 'sporty' dan menyeronokkan untuk dipandu.

"Teknologi e: HEV telah diperkenalkan melalui model City dan City Hatchback yang baharu, ia telah menarik perhatian dan minat awam selain mencipta satu cadangan nilai baharu dalam kenderaan hibrid," katanya.

Syarikat itu juga sedang meneroka ke dalam perniagaan kereta terpakai Honda yang diperakui untuk memberikan opsyen kepada pelanggan dalam membeli kereta Honda idaman mereka.

-- BERNAMA